Sunday, September 9, 2012

Kebun Mak Saya Bahagian Satu

Kalau saya asyik bercerita pasal kebun abah saya saja, nanti mak saya cemburu pula. Jadi saya ingin juga bercerita pasal kebun mak saya. Hobi utama mak saya sebenarnya adalah 'menternak' kucing. Kalau boleh satu sekolah kucing hendak dipeliharanya. Dari segi pertanian pula, mak saya lebih minat bertanam pokok bunga. Antara jenis-jenis bunga yang mak saya minat adalah orkid, bunga kertas dan juga bunga-bunga hutan yang menarik hati. Sekarang ini nampaknya mak saya telah beralih arah ke arah penanaman bunga tanah tinggi yang dibeli di nurseri.
Ini adalah antara bunga yang mula mak saya minati. Kata taukeh nurseri orang panggil bunga ni lavender, walaupun bukan bunga yang sebenar, warna ungu bunganya ada iras-iras bunga lavender. Mak saya letak bunga ini atas meja mar-mar di luar rumah, nampak cantik dan mak saya kata lagi yang pokok ini memerlukan banyak air.

Ini pula antara bunga hutan yang mak saya tanam, ia memanjat di sekeliling rumah semaian yang mak saya buat. Saya gemar bergambar berhampiran bunga-bunga ini sebab warnanya kuning menawan. Malangnya bunga ini tidak mengeluarkan sebarang bau.


Bunga ini pula pemberian rakan opis saya. Punyalah baik orangnya siap semaikan elok-elok bunga ini dan dia berikan saya dua anak pokok semaian yang terbaik. Saya tak berapa minat tanam bunga, jadi saya bagi kepada yang lebih berminat iaitu mak saya. Kalau tak silap saya nama bunga ini 'spanish/mexican petunia'. Banyak di tanam di tepi-tepi jalan. Bunganya berganti setiap hari. Warna daunnya yang hijau gelap sangat padan dengan bunga yang berwarna ungu ini.



Bunga ini mengeluarkan bau yang sangat wangi, kalau berjalan di dalam hutan dan tercium bau yang amat wangi, silalah pandang kiri dan kanan, mungkin pokok mempelas ini ada berhampiran kawasan tersebut. Janganlah bersangka buruk yang anda diikuti orang bunian pula. Pokok mempelas ini ada kegunaannya terutama bahagian daun yang teksturnya seperti kertas pasir, ianya selalu digunakan untuk menggilap terutamanya ukiran kayu lembut. Kalau nak gilap kuku pun boleh. Tapi mak saya kata tak elok. Selain mengeluarkan bunga putih yang harum, pokok ini juga mengeluarkan buah kecil seperti strawberi mini yang comel.


Ini baru sebahagian pokok-pokok bunga yang saya tampilkan, ada banyak lagi yang saya simpan untuk bahagian-bahagian seterusnya. Cara saya bertanam pokok adalah amat berbeza dengan mak saya kerana mak saya amat mementingkan pantang larang tetapi mak saya sendiri memuji tanaman di rumah saya, katanya Semua Menjadi.

2 comments:

  1. pokok bunga ungu 2nd pic tu cam pokok bunga Ajuga yg saya pernah tanam, tp dh lama mati coz x tahan dgn cuaca panas kat Pontian ni huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ooo...baru la tahu namanya Ajuga, selamat dating ke blog semua menjadi

      Delete