Thursday, March 28, 2013

Kenangan Si Jambu Batu Kampung


 Sekarang ini susah betul nak jumpa pokok jambu batu kampung. Kalau di rumah mak abah saya dah tak ada lansung. Padahal masa kecik dulu inilah pokok buah yang paling banyk tumbuh merata-rata dan menjadi pusat aktiviti segala permainan bagi saya dan sepupu-sepupu saya.

Pokok jambu batu dalam gambar ini saya jumpa sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Teringat kenangan masa kecik dulu, jadi saya tak lepaskan peluang untuk tangkap gambar buah jambu batu kampung ini.


Dulu selepas balik mengaji saya selalu pergi panjat pokok jambu batu untuk ambil buahnya. Masa itu ada dua jenis jambu batu, satu yang isi merah dan satu lagi yang isi putih. Saya paling suka yang isi putih.

Ada satu hari, panjat punya panjat waktu nak turun dari pokok perut saya terkena dekat dahan pokok jambu yang baru di potong. Panjang lukanya. Mula-mula kena, nampak putih sahaja kulit perut yang dah luka tu sebab lukanya agak dalam. 

Saya pun berlari balik rumah sambil menangis mengadu dekat abah saya. Masa itu abah saya boleh kata dia nampak nasi keluar dari luka di perut saya itu. Saya pun apalagi, menangis makin kuat, saya percayalah cakap abah saya lagipun masa itu saya kecik lagi, masih belum sekolah. 

Abah saya memang suka bergurau dan tak garang lansung. Saya tak berani nak bagitau mak saya pasal perut saya luka tu sebab mak saya tersangatlah garangnya, nanti bukan sahaja sakit sebab luka tapi tambah pula dengan sakit kena rotan.


Buah jambu batu kampung walaupun tak sesedap jambu batu moden yang besar, tetap menjadi pujaan di hati saya. Suatu hari nanti saya akan cari pokok jambu batu ini dan cuba tanam di rumah saya.

Hari Jumaat ini saya kena bekerja di luar kawasan lagi, kali ini dekat Kelantan pula. Harap-harap hotel dekat Kelantan tak serupa macam Terengganu lah hendaknya. Kali ini saya kena bekerja selama tiga hari dua malam sehingga hari Ahad. Nampaknya tiada cuti hujung minggu untuk saya pada minggu ini.

Wednesday, March 27, 2013

Buah Limau Kasturi



Saya tanam pokok limau kasturi khas untuk buahnya. Daunnya orang tak makan tapi ulat makan. Kalau semalam dah cerita pasal pokok limau purut, hari ini mestilah kena cerita pasal adiknya si limau kasturi. Kalau tak cerita merajuk pulak dia.

Kalau diperhatikan daun limau kasturi ini dah sama kuningnya dengan buahnya. Ini semua akibat kekurangan cahaya matahari. Pokok limau kasturi tak pandai menjalar macam abangnya si limau purut. Akibatnya pertumbuhannya kurang mantap  dan buahnya pun cenonet sahaja saiznya.



Saya gunakan jus limau kasturi untuk masak tomyam, barulah ada tendangan (kick).Limau kasturi ini ada banyak kegunaannya, kira antara limau yang serbabolehlah. 

Satu lagi cara yang saya suka gunakan limau kasturi ini ialah jusnya disiram atas betik masak.
 Erm, menyelerakan.


Sebagai hiasan dan penaik semangat perkebunan, saya letakkan gambar limau kasturi yang ada di nurseri. Ada orang kata limau kasturi yang dijual sempena tahun baharu cina tak elok dimakan kerana buah-buah tersebut mengandungi ubat atau disembur ubat untuk warna yang menarik serta tahan lama.


Kebelakangan ini saya perhatikan tak main la buat hiasan tahun baru cina dengan limau kasturi lagi. Sekarang ini orang buat hiasan dengan limau mandarin dan kadang-kadang pokok limau bali yang dikemetotkan pun diorang dah guna.

Tuesday, March 26, 2013

Daun Limau Purut


Saya tanam pokok limau purut kerana hendakkan daunnya. Patutlah sampai sekarang pokok limau purut saya cuma mengeluarkan daun, limaunya tak ada.


Daunnya memang besar-besar, saiz XL.  Tapi saya baru gunakan daunnya cuma sekali, untuk masak tomyam. Saya memang jarang masak tomyam, tiga tahun sekali kot. Ada juga saya terjumpa resepi tempeyek yang menggunakan daun limau purut, tapi sampai sekarang tak cuba lagi. 

Kacang dan bahan-bahan lain dah lama beli, tapi tempeyeknya tak muncul-muncul lagi. Agaknya sempat kacang tanah bertunas dulu, barulah tempeyeknya menjadi.


Saya tanam pokok limau purut ini di kalangan pokok mangga, pokok delima dan lain-lain pokok di hadapan rumah saya. Akibatnya pokok limau purut saya dahannya jadi panjang kerana mencari matahari, dah hampir menjadi pokok menjalar. Apa nak buat, kawasan sempit, semua pokok pun teringin nak tanam.

Monday, March 25, 2013

Empat Bintang


Sekadar gambar hiasan. Tiada kait mengait dengan cerita. Tetapi inilah gambar ros jepun yang saya tanam. Semakin hari semakin subur, sampai dah tak terbendung.

Saya nak cerita mengenai pekara yang berlaku sewaktu saya bekerja di Terengganu baru-baru ini.

Perjalanan yang jauh memang memenatkan, sampai sahaja di hotel saya telah mendapat bilik yang ditempah oleh pengurusan opis saya. Masuk sahaja di bilik telah timbul perasaan tak puas hati. Saya selalunya akan bekerja di luar kawasan lima atau enam kali setiap tahun tapi tak pernah mendapat bilik yang teruk  sebegini.

Esoknya satu lagi kejadian memeranjatkan berlaku, sewaktu sarapan, makanan saya dipijak-pijak oleh lipas bukan sekali tapi dua kali. Bila diberitahu kepada pelayan, dia cuma tepiskan sahaja lipas tersebut dengan tangannya. Walaupun hotel tersebut bukan lima bintang (tapi empat bintang), takkanlah teruk sangat sampai tahap macam itu.

Disebabkan tak tahan sangat dengan keadaan hotel, saya dan rakan sekerja berjumpa dengan pihak pengurusan, walaupun  ada minta maaf, diorang boleh kata lain kali kalau tak nak datang pun tak apa. Pihak pengurusan kata apa yang boleh mereka buat untuk selesaikan masalah, itupun setelah mereka menyedari salah seorang rakan sekerja merakam segala perbualan kami.

Akhirnya, kami telah diberi bilik yang lebih baik daripada bilik sebelumnya dan sewaktu sarapan kami tak jumpa lagi dengan encik lipas. Tapi selepas ini memang kami telah letak tanda pangkah pada hotel ini, takkan kami jejaki lagi kecuali dalam keadaan darurat.

Tibalah hari untuk pulang, dengan hasil tangkapan yang sungguh lumayan di Pasar Payang, saya terpaksa biarkan pintu bilik terbuka luas untuk membenarkan semua beg saya dapat keluar dengan aman untuk menuju ke lif. Di pertengahan jalan, saya terfikir kalau saya tak tutup pintu bilik nanti ada pula barang yang hilang dan saya akan dituduh mencuri barangan hotel dan sekaligus kena bayar barangan tersebut.

Saya pun patah balik dan tutup pintu bilik.Tiba-tiba seorang pekerja hotel pangkat tinggi (agaknya la sebab dia pakai kot) bagitau salah seorang penduduk bilik berhampiran telah tertinggal barang. Saya pun ambil barang tersebut yang berupa beg alatan solek yang lutsinar.

Semasa dalam kenderaan, saya periksa beg tersebut untuk memastikan pemilik sebenar, saya dapati di dalamnya ada sikat, krim kecantikan, alat-alat solek yang lain, seutas rantai 91.6, empat utas gelang emas dan lain-lain barang. Saya rasa pekerja hotel tak perasan semua barangan kemas tersebut. Kalaulah dia nampak, tak taulah saya.

Saya anggarkan berat gelang (padu bukan geronggang)  tersebut 25 gram setiap satu dan rantai tersebut kira-kira 30 gram. Cuba bayangkan berapa banyak duit yang saya boleh dapat kalau saya jual kesemua barangan kemas tersebut. Memanglah saya boleh ulang lapan kali pergi Pasar Payang dan beli macam-macam lagi yang saya mahu.

Tapi saya tak buat macam tu, saya pulangkan balik pada tuannya yang sebenarnya tak menyedari dia tertinggal beg tersebut. Beliau balik awal daripada saya dan sewaktu dihubungi beliau masih dalam perjalanan tapi sudah jauh meninggalkan Kuala Terengganu.

Friday, March 22, 2013

Hasil Tangkapan


Saya baru sahaja sampai ke rumah dari Kuala Terengganu. Inilah hasil tangkapan yang berjaya saya lakukan di Kedai Payang.

Banyak lagi hasil tangkapan yang lain (abes duit den) tapi tak seistimewa yang ini.

Banyak cerita menarik yang berlaku di sana. Saya hampir menjadi kaya-raya secara tiba-tiba. Tapi nanti-nantilah saya ceritakan. Nak tau ke?

Thursday, March 21, 2013

Ati-Ati






Ati-ati adalah antara pokok berdaun kegemaran saya waktu kecik dahulu. Sangat bagus dijadikan ramuan dalam permainan masak-masak.

Wednesday, March 20, 2013

Comel Gebu


Gebukan pokok ini. Bunganya sekali pandang macam manik-manik. Dua kali pandang macam ulat.


Pokok ini di tanam dalam pasu comel jadi pokoknya pun comel sahaja saiznya dengan daun-daun yang comel.

Tuesday, March 19, 2013

Cantik Menawan


Cantik sungguh dia ini. Harganya pun 'cantik' juga.


Kalaulah mak saya ada waktu saya ambil gambar bunga kat nurseri, kompom mak saya nak beli bunga ini. Mak saya peminat tegar bunga orkid.

Monday, March 18, 2013

Tuaian Isnin


Tuaian hari Isnin terdiri daripada buah dan daun. Buah mulberi dan daun jarum tujuh bilah.


Buah mulberi terpaksa dituai kerana hari ini saya bertolak ke Terengganu, takut-takut balik dari sana tinggal tangkai sahaja. Semut dekat kawasan rumah saya suka sangat makan buah mulberi walaupun masam.

Daun jarum tujuh bilah pula saya tuai sebab nak merealisasikan resepi yang dah lama saya pendam iaitu daun goreng tepung (hehehe... macamlah resepi dasyat sangat).



Dah siap pun goreng. Warna tepung salutan gelap sikit sebab saya guna tepung ayam goreng lada hitam jenama Bestari. Disebabkan saya 'rajin', saya campur telur sebiji, tepung Bestari dan air sekaligus. Selepas tu saya celup daun dalam ramuan tepung dan terus goreng dalam minyak terendam.


Dari segi rupa ada sedikit kurang sehingga terpaksa dihias dengan dua biji cili api (kalau nampaklah, kalau tak nampak kira lagi satu 'Jumaat' sahaja lagilah). Dari segi rasa memang lebih sedap daripada makan daun mentah. Tepung lada hitam memang sangat sesuai dengan rasa daun jarum tujuh bilah ini.

Apalah, sendiri tuai, sendiri masak dan puji lebih-lebih pula. Tapi kalau kawan-kawan nak cuba apasalahnya, sedap lagi berkhasiat.



************************************************************************
Nak beli benih tanaman secara online?

Sunday, March 17, 2013

Sejambak Azalea dalam Polibeg


Cantiknya bunga azalea, kalaulah tokeh nurseri nak bagi percuma kat saya, kan best. Tangkap gambar pun jadilah, dijamin bunga tak layu dan mati dalam gambar saya ini.

Saturday, March 16, 2013

Bunga Ubat



Agak-agak bunga ini boleh dimakan tak?


Daunnya memanglah boleh dimakan, malah dijadikan ubat mencegah kanser.


Walaupun rasanya tak sesedap mana, tapi khasiatnya memang diakui. Bunga pokok jarum tujuh bilah ini nampak sama menyelerakan macam daunnya. Macam berjus sahaja daunnya. Sehingga hari ini saya belum cuba lagi buat keropok daunnya. Mungkin hari ini saya akan cuba.


Kalau bunga ini dijadikan salah satu ramuan salad mesti nampak ceria dan menyelerakan.

Friday, March 15, 2013

Punica Granatum

Saya sebenarnya nak cerita pasal buah sejenis buah.


Delima, salah satu buah tertua yang telah lama dikenali oleh manusia, cerita tentangnya banyak tercatat dalam bentuk tulisan mahupun artifak daripada pelbagai budaya dan agama. Delima juga dikatakann berasal dari Parsi dan merupakan salah satu buah kegemaran penulis (hehehe). 

Buah ini padat dengan nutrisi, juga digelar buah antioksidan yang mana ia menjadi simbol kesihatan, kesuburan dan kehidupan abadi. Semua maklumat ini saya ambil dari SINI. Kalau nak baca lebih lanjut sila baca dekat situ juga yer.



Tiap-tiap hari saya membelek buah delima saya yang jumlahnya empat biji setakat ini. Kelihatan dua sahaja yang sudah kemerah-merahan warnanya. Bila boleh petik saya pun tak tau. Yang lagi dua biji masih menyorok, malu-malu kucing nampaknya. Di pokok ini terdapat juga bunga-bunga baru yang tumbuh menanti transformasi daripada bunga kepada buah.

Masa saya balik ke rumah mak abah saya baru-baru ini pun saya dapati pokok delima mak saya sudah mula belajar berbunga. Punyalah gembira mak saya siap diciumnya bunga tersebut berkali-kali. Saya sempat menasihati mak saya agar jangan terlalu teruja, menurut pengalaman saya, bunga-bunga yang keluar tersebut belum pasti menjadi buah dan harapnya mak saya dapat bersabar seadanya. Ada ke anak pula nasihat mak.

Adik saya pula memberi laporan bahawa pokok delimanya pula bantut, tak mau besar-besar lagi dan daunnya pun sedikit sahaja. Saya membuat hipotesis bahawa tanah dan cuaca di kawasan rumahnya mungkin tidak sesuai dan lansung tidak serupa dengan habitat asal pokok delima iaitu tanah-tanih parsi. Adik saya cuma mendengar dan mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiyakan hipotesis saya yang merapu itu.

Walaubagaimana saya masih menunggu nasihat daripada kawan-kawan blogger yang arif tentang bila waktu sesuai untuk menuai delima saya ini. Diharap ada rakan-rakan yang sudi berkongsi ilmu dengan saya. Terima Kasih.

Selain itu, minggu depan saya akan ke Terengganu selama seminggu atas urusan kerja dan kemudiannya menyambung cuti selama dua hari. Harapnya pembaca blog ini tak akan lupakan saya dan sementara saya bertugas diluar kawasan ini saya akan usahakan agar dapat post  gambar bunga-bunga dan tumbuhan yang ada dalam koleksi saya. 

Akhir sekali ucapan saya, agar kawan-kawan selalu menjenguk blog saya sekiranya rindu pada saya. 

Thursday, March 14, 2013

Buah banyak Ulat?


Ada kawan opis saya kata buah ini banyak ulat tapi dah lama saya makan buah ini tak pernah pula jumpa ulat. Saya rasa kawan saya itu tersilap pandang. Mungkin bulu-bulu pada buah ini yang dikatakan sebagai ulat. Sungguh tak berasas dakwaan kawan saya itu.

Ini adalah gambar buah mulberi yang belum masak, rasanya masam tapi kadang-kadang saya rasa macam lemak sikit rasanya. Pada tahap ini saya rasa buah ini sesuai dibuat jem.


Saya ada tanam dua pokok mulberi, satu dalam pasu besar dan satu dalam pasu kecil. Yang dalam pasu besar, batangnya dah sebesar lengan orang dewasa sebab akarnya dah merebak masuk dalam tanah di bawah pasu.

Gambar di atas adalah buah mulberi dalam pasu kecil, batang pokonya pun kecil, cuma sebesar batang pensel. Tapi saya rasa buahnya lebih lebat daripada pokok dalam pasu besar.



Saya suka buah mulberi, ada orang kata buahnya ada khasiat perubatan terutamanya untuk pesakit darah tinggi.


Kadang-kadang kalau dilihat dari dekat, buah mulberi ini pun kelihatan seperti ulat tapi ulat yang berkhasiat.

Wednesday, March 13, 2013

Apa yang di Beli?



Inilah dua pokok yang saya beli kat nurseri kegemaran.


 Setiap kali pergi nurseri mesti saya pusing-pusing dua tiga kali. Jarang-jarang baru berjumpa pokok ini. Masuk kali ini cuma tiga kali sahaja saya berjumpa dengannya dan cuma sepohon sahaja yang ada. Memang payah nak jumpa. Harganya pun berbeza-beza.

Inilah pokok kemunting bagi yang tak kenal. Kali ini saya dapat harga yang paling murah, cuma RM5 sepohon tapi pokoknya  kecil berbanding yang saya beli sebelum ini.


Pokok ini pun selalu juga saya perhatikan bila ke nurseri. Semasa sambutan tahun baru cina harganya meningkat daripada biasa. Saya tak terasa nak beli walaupun saya kadang-kadang cemburu melihat pokok ini di halaman jiran saya.

Kali ini harganya murah satu pertiga daripada harga asal walaupun pokoknya kecil dan belum berbunga lagi. Harga pokok red button ginger ini cuma RM5. Murahkan.

Semua harga pokok ini jadi murah sebab taukeh lelaki nurseri kata, " You pelanggan lama, jadi saya bagi harga pelanggan istimewa lah sama you" 
dan saya pun suka.

Tuesday, March 12, 2013

Dari Bunga Menjadi Buah

Ingat lagi tak pasal timun betik si timun ladang yang saya ceritakan di SINI

.

Cepat betul, dah berbunga pun, banyak pula bunganya walaupun semuanya bunga jantan. Satu petanda yang baik.



Tapi semenjak ada bunga ini, daunnya dah ada tanda-tanda diserang kekabuh.


Semoga akan ada bunga-bunga betina yang tumbuh dan akhirnya menjadi buah.

Kawan-kawan yang ada benih timun ladang dah semai  ke belum benihnya?

Monday, March 11, 2013

Tuaian Hari Isnin

 
Tuaian hari ini dari kiri daun limau purut, serai peha ayam, cili api dan limau kasturi semuanya segar dari ladang cenonet saya.


Gambar pandangan atas tuaian kecil dari kebun kecil untuk dapur kecil.


Saya guna perencah segera. Tak adalah rajin sangat nak buat semuanya sendiri.


Udang lupa belah belakang dan buang kaki, kulit masak sekali untuk buang kolestrol (kena makanlah kulit tu sekali yer). Sotong pula tak buang kulit hitam, saja suka. Bahan pelengkap Tom Yam. Tak campur dengan ayam. Sebab ayam hidupan darat ada cas yang berbeza dengan hidupan laut, tak elok campur. Tapi sebenarnya makan protien banyak jenis (udang + sotong) dalam satu hidangan pun tak elok jugakan.


Bahan-bahan sampingan, kubis bunga tak ada di kebun yang ada cuma brokoli dan cendawan tiram (acah jer tu, itu sahaja sayur yang ada dalam petiais). Tomato pula belum cukup matang, tak apalah, tak ada tomato pun jadi juga tomyam.



Inilah rupa hidangan tomyam yang dah masak, tak berapa menawan, itu sebab gambarnya kecil sahaja. Tapi rasanya memang lebih sedap daripada yang dibeli di kedai depan rumah. OMK! Menjilat sudu.

Sunday, March 10, 2013