Kenal tak siapa ni?
Bagi siapa yang tak kenal lagi inilah si kacak belalang kunyit.
Masa saya tangkap gambarnya, elok pulak dia beraksi santai sambil menikmati cahaya mentari pagi.
Dia sempat beraksi dengan pelbagai gaya (perhatikan kaki belakangnya) sebelum ditangkap dengan tangan saya sendiri. Kemudian saya masukkan ke dalam tong kompos.
Petua orang tua-tua, kalau ada belalang merosakkan tanaman kita dan kita nak halau dia dan kawan-kawannya supaya jangan datang lagi, kita mesti cakap dekat dia macam ini, "Nanti aku garam kunyitkan kau, baik pergi jauh-jauh".
Tahukah anda yang kita boleh makan belalang. Walaubagaimanapun saya belum pernah mencuba lagi. Tapi ada kawan saya kata dia pernah makan belalang kunyit goreng, katanya rasanya seakan-akan udang goreng, sedap tu. Ada sesiapa yang pernah makan, betul ker rasanya macam tu?
Belalang kunyit ini bersantai di pokok 'red indian guava' saya setelah merosakkan pucuk-pucuk pohon mangga Taiwan kesayangan saya. Hari-hari saya perhatikan ada pucuk mangga saya yang patah bertaburan di bawah pokok.
Dulu, masa saya kecik-kecik, ada seorang india selalu datang ke rumah mak abah saya dan minta pucuk mangga di rumah mak abah saya untuk di buat ulam. Selalu sangat dia datang, sehinggakan saya rasa mungkin pucuk mangga tu sedap sangat rasanya.
Saya tanya mak saya kenapa kita tak makan pucuk mangga, mak saya kata tak elok makan pucuk mangga, nanti muka jadi lebam, saya percaya dan tak pernah makan pucuk mangga. Tapi kalau pucuk ketereh ker, pucuk tenggek burung dan pucuk putat selalulah saya makan (itupun setelah dewasa).
Tapi kalau melihat kepada rupa paras belalang kunyit ini, saya tak nampak pun mukanya lebam, kacak lagi ada!