Saya dah tanam pokok gajus, khas untuk pucuknya. Memang saya minat sangat makan ulam daun gajus. Rasanya kelat-kelat lemak tapi yang paling mengancam adalah baunya.
Masa kecik-kecik dulu saya selalu main atas pokok gajus. Makan buahnya yang kelat cicah garam. Bijinya pula dibakar, kemudian ketuk sampai pecah dan dapatlah kacang gajus bakar yang harum lagi enak.
Tapi ada bahayanya buah dan biji gajus, kalau terkena getahnya boleh melepuh kulit. Kami panggil melecup.
Pokok ini saya pesan adik saya belikan. Jadi tempat transitnya adalah rumah mak abah saya. Sempatlah Mimin 'posing' sikit dengan pokok gajus sebelum saya bawa pulang.
Setakat ini saya belum lagi kutip pucuk pokok gajus ini, sayang rasanya. Saya nak tunggu dia besar sikit lagi, kemudian pangkas dahannya supaya rendang dan keluar banyak pucuk.